Alkisah sebuah kenduri
Azman dan Siti sibuk menguruskan hal perkahwinan anak sulung perempuan mereka kebelakangan ini. Hari kenduri kebetulan jatuh pada hari ulangtahun perkahwinan ke 25 Azman dan Siti.
Azman bekerja di sebuah syarikat swasta manakala Siti seorang suri rumahtangga. Mereka berdua menginginkan majlis yang terbaik untuk anaknya meskipun mempunyai masalah kewangan.
Atas sebab itu, ada pertengkaran di antara Azman dan Siti kerana perbezaan pendapat mengenai kenduri tersebut.
Azman memahami kepenatan isterinya menguruskan segalanya di rumah dan juga hal-hal kenduri. Namun, kehendaknya kadang-kala melepasi kemampuan kewangan yang mampu ditanggungnya.
Kerana pertengkaran tersebut, Azman dan Siti semakin kurang bercakap antara satu sama lain. Suasana di rumah pula menjadi agak tegang.
Azman, seorang yang tidak pandai berkata-kata dan memujuk, kebuntuan cara untuk memujuk isteri sehinggalah di hari kenduri, di mana Azman menyediakan sepucuk surat di atas meja solekan isterinya, lalu keluar membuat persiapan terakhir menyambut tetamu.
Setelah beberapa ketika, Azman pulang kembali ke kamar untuk melihat persiapan Siti. Siti masih terduduk di meja solekan dengan air mata meleleh di pipi dan memandang ke arah Azman.
Azman mendekati isterinya dan menciumnya di dahi.
“Teruklah abang ini, awal-awal pagi dah buat ayang menangis,” kata Siti sambil memeluk erat suami tercintanya dengan surat Azman digengamnya di tangan.
Kedua-dua mereka kemudian menyambut tetamu kenduri dengan hati yang penuh keriangan dan kebahagiaan.
Inilah surat yang ditulis oleh Azman:
Wahai isteriku,
Selamat ulangtahun perkahwinan ke 25, wahai isteriku.
Kamu selalu kata aku tak pandai berkata-kata, tak romantik. Kebelakangan ini, kita berdua sering bertengkar kerana hal kenduri. Malah, ini adalah pertengkaran terbesar dalam 25 tahun perkahwinan kita. Aku rasa aku perlu buat sesuatu untuk memujukmu senyum gembira semula.
Wahai isteriku,
Pada usia kita ini yang sudah melepasi separuh dekad, aku pun tak tahu bagaimana untuk berromantik. Ber-romantik masa kita muda-muda dulu sudah tidak sama lagi untuk zaman kita.
Hari ini, semasa berjalan-jalan, aku ternampak sepasang suami isteri tua duduk di tepi taman. Si suami khusyuk mendengar segala apa yang si isteri tengah ceritakan. Dan si isteri pula bersungguh-sungguh sedang melap cermin mata si suami.
Terasa sungguh romantik aku melihatnya… khusyuk mendengar apa yang dikatakan oleh orang tercinta, menggunakan hati untuk memikirkan untuk orang tercinta, sentiasa teringat pada orang tercinta…
Wahai isteriku, janganlah kamu kata aku tak cukup romantik lagi… rupa-rupanya selama 25 tahun ini, akulah orang yang paling romantik.
Kerana selama 25 tahun ini, aku sentiasa menyayangimu dengan sepenuh hatiku. Sungguh bertuah aku mendapat isteri seperti kamu, wahai isteriku. Allah sungguh baik padaku kerana memberikan kamu sebagai isteri aku.
Aku akan terus berusaha supaya senyuman dan bahagiamu berkekalan dan berasa seperti aku juga, bertuah mempunyai aku sebagai suami.
Selamat ulangtahun ke 25, wahai isteriku.
Senyum
Wahai anakku,
Jangan biarkan ego mengganggu hubungan kamu dengan orang tercinta. Gugurkanlah egomu, dan nescaya awan yang mendung akan bertukar menjadi langit yang cerah.
Senyum.
♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡
No comments:
Post a Comment